Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Kastam rampas rokok, minuman keras seludup bernilai lebih RM6 juta di Sibu

Posted on 17 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM6,326,508.01 termasuk cukai dalam satu serbuan di sebuah rumah kosong di Persiaran Brooke di sini pada 10 Oktober lalu.

Pengarahnya Datuk Norizan Yahya berkata dalam serbuan berkenaan, sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat JKDM Sibu menyita dan merampas 8,330,000 batang rokok dan 190.08 liter minuman keras pelbagai jenama.

“Bertindak atas maklumat dari Pusat Perisikan Zon Sarawak, sepasukan pegawai kastam telah berjaya menyita sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam melalui serbuan ke atas rumah kediaman yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras yang disyaki merupakan barangan larangan.

“Nilai sitaan rokok dan minuman keras dianggarkan berjumlah RM750,840.48, manakala anggaran jumlah duti import dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM5,575,667.53,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Sibu di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan yang dilakukan di rumah berkenaan, tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik rumah berkenaan.

“Modus operandi kes ialah dengan menyimpan rokok dan minuman keras yang merupakan barang larangan di rumah kediaman bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. 

Tegasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. 

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman