RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) meningkatkan penguatkuasaan kebersihan premis makanan melalui pemeriksaan menyeluruh yang menumpukan aspek keselamatan makanan serta kawalan tikus di kawasan tumpuan.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPS Jackleen Apek berkata, pemeriksaan memberi fokus kepada tahap kebersihan dalaman premis termasuk dinding, lantai serta peralatan penyediaan makanan bagi memastikan semuanya berada pada keadaan memuaskan.
“Semua peralatan seperti sudu, garpu, papan pemotong, botol dan mangkuk mesti berapa dalam keadaan baik, tanpa sebarang keretakan atau sumbing.
“Papan pemotong juga tidak boleh digunakan secara bercampur untuk pelbagai jenis makanan, manakala kuali mesti bebas karat," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas operasi pemeriksaan kebersihan ke atas kedai kopi di sekitar kawasan Pasar Malam Sibu, hari ini.
Beliau berkata, susun atur peti sejuk dan cara penyimpanan makanan turut diperiksa bagi memastikan makanan ditutup rapi dalam bekas yang sesuai serta dilabel bagi tujuan penyimpanan yang selamat.
“Rak penyimpanan pula tidak boleh berada terlalu rendah supaya tidak terdedah kepada risiko pencemaran dari lantai.
“Kami juga memastikan semua peralatan dan kemudahan di premis berfungsi dengan baik seperti paip air, sistem flush tandas, kabel serta sinki yang mencukupi.
“Kipas pula perlu dalam keadaan bersih, tidak berdebu dan tidak meninggalkan kesan kotor pada dinding, manakala pintu yang rosak perlu dibaiki segera. Selain itu, pencahayaan premis juga mesti mencukupi dan terang,” jelasnya.
Jackleen berkata, antara isu yang sering dikesan semasa pemeriksaan ialah kehadiran najis atau tanda-tanda tikus di premis makanan.
“Dalam keadaan tersebut, pemilik premis akan diarahkan melaksanakan kawalan serangga dan tikus (pest control) melalui syarikat kawalan serangga bertauliah serta menyimpan rekod pest control sebagai bukti pemantauan berkala.
“Jika terlalu banyak tanda kehadiran tikus dikesan, kekerapan pest control akan ditingkatkan kepada dua kali sebulan, manakala jika hanya satu atau dua kes, pemantauan sekali sebulan sudah memadai,” ujarnya.
Setakat ini, katanya, MPS tidak mengenakan penalti kepada peniaga, namun notis dan pemantauan adalah tindakan standard yang dilaksanakan.
“MPS tidak mempunyai kuasa untuk menutup premis sepenuhnya, tetapi kami boleh mengarahkan premis ditutup selama sehari untuk kerja-kerja pembersihan menyeluruh,” jelasnya.
Jackleen berkata, selepas notis dikeluarkan, pemilik premis akan diberikan tempoh 14 hari untuk melakukan pembersihan premis dan penambahbaikan.
“Pemeriksaan susulan pula akan dilakukan dalam tempoh tujuh hingga 14 hari mengikut kesesuaian.
“Jika premis gagal mematuhi arahan selepas tiga kali pemeriksaan, kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut,” tegasnya.
Operasi tersebut diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat.
Turut serta ialah ahli majlis MPS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).