Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

MPS periksa lapan tandas awam di Sibu, teliti dan selesaikan isu berbangkit

Posted on 25 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Bahagian Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah menjalankan pemeriksaan ke atas lapan tandas awam di Zon A bagi meneliti isu-isu berbangkit dan menyelesaikannya dengan segera pada Isnin.

Tandas-tandas ini terletak di gelanggang papan luncur (Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II), Jalan Khoo Peng Loong, Pintu Gerbang Sibu, Pusat Penjaja SEDC, Pusat Warisan Sibu, Jalan Bujang Suntong Fasa I, Muzium Peringatan Lau King Howe dan Esplanade Rejang Sibu.

Turut serta dalam pemeriksaan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Richard Ting, dan timbalannya, Kaunselor Yiing Sy Huat, selain Kaunselor Shirley Ling dan pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar dan Peniaga Kecil MPS, Kaunselor Jenny Ting.

Yiing memberitahu pemberita bahawa tandas-tandas awam ini kini diurus dan diselenggara setiap hari oleh kontraktor, manakala kerja pembaikan atau naik taraf yang lebih besar adalah tanggungjawab majlis.

“Sebagai contoh, tandas awam di Jalan Khoo Peng Loong telah dirancang untuk dinaik taraf, dijangka tahun depan.

“Namun, isu seperti saliran tidak baik dan kebocoran air hujan perlu ditangani segera, dan perbincangan sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Yiing turut berharap orang ramai dapat memupuk kesedaran sivik yang lebih tinggi dan menjaga kemudahan awam dengan menggunakannya dengan betul.

“Hanya melalui kerjasama antara majlis dan orang ramai, jangka hayat serta kualiti kemudahan awam dapat dikekalkan atau dipertingkatkan.”

Sementara itu, pemeriksaan tersebut mendedahkan beberapa masalah penyelenggaraan di beberapa tandas awam, termasuk lantai yang tidak dikeringkan, mangkuk tandas dan urinal yang tidak bersih, serta amalan penyeliaan kebersihan yang lemah, katanya.

Lain-lain termasuk paip bocor, stor yang berhabuk atau tidak teratur, sampah tidak dikutip, serta penyimpanan peralatan pembersihan yang tidak betul.

Isu struktur seperti kesan air dan cat siling yang mengelupas turut diperhatikan, manakala satu lokasi di Pusat Warisan Sibu dikesan digunakan secara tidak wajar untuk aktiviti memasak.

Selain itu, beliau turut memaklumkan terdapat juga tanda-tanda takungan air di kawasan tandas gelanggang papan luncur.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman