RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menganjurkan sambutan Krismas 2025 bertemakan “A Christmas in Borneo” pada 12 hingga 31 Disember di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 & 2.
Pengerusi penganjur, Kaunselor Simon Wee berkata objektif penganjuran adalah untuk memupuk semangat komuniti, menggalakkan keharmonian budaya serta mencipta suasana perayaan ceria dalam kalangan orang ramai.
“Acara ini bertujuan menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang untuk meraikan musim kebaikan, mengukuhkan hubungan sosial dan meningkatkan keterampilan bandar melalui dekorasi kreatif, persembahan serta aktiviti interaktif,” ujarnya pada sidang media, semalam.
Acara ini turut dianjurkan dengan kerjasama I-Concept Event Agency, Kingdom Music Academy, Gereja Anglikan St. John, Gereja Methodist Zion, BEM Hosanna, Gereja Methodist Iban, Keuskupan Roman Katolik Sibu, Bethel Bread of Life Christian Fellowship Sibu dan Gereja Methodist (Sibu West District).
Bagi menyerikan lagi acara, Wee berkata sambutan tersebut turut menampilkan pertandingan hiasan pokok Krismas.
“Sebanyak enam pokok Krismas akan dihias dengan upacara perasmian dan penyalaan lampu dijadualkan berlangsung pada 12 Disember jam 7 malam di Gerbang Krismas di Dataran Tun Tuanku Bujang, Fasa 1,” jelasnya.
Wee turut mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan sepanjang kawasan acara “A Christmas In Borneo”.
Beliau berkata Bahagian Kesihatan Awam dan Penguatkuasaan MPS akan memantau lokasi dan tindakan denda boleh dikenakan kepada individu yang gagal mematuhi peraturan kebersihan.
“Semua pengunjung diingatkan untuk memainkan peranan dalam memastikan kawasan “A Christmas in Borneo” sentiasa bersih dan teratur.
“Pemeriksaan berkala akan dijalankan dan tindakan penguatkuasaan termasuk denda akan dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata atau melanggar peraturan kebersihan acara,” tegasnya.
Wee juga menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan secara haram bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan kemungkinan dikenakan denda.
“Kami mengharapkan acara ini berjaya dan dapat menyambut kehadiran lebih ramai pengunjung berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Jangan lupa tandakan dalam kalendar anda dan sertailah kami dalam sambutan Krismas tahun ini,” katanya.