RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak.
Pengerusinya Florence Nervyn berkata, pengumuman tersebut jelas menunjukkan pengiktirafan kerajaan Sarawak terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, seimbang dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada warga media, malah mengiktiraf sumbangan signifikan mereka dalam memperkukuhkan landskap media di Sarawak.
"SJA turut bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan penyaluran insentif ini dilaksanakan secara teratur, cekap dan sampai kepada semua penerima yang layak," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Florence berkata, SJA amat menghargai sokongan berterusan kerajaan Sarawak terhadap pengamal media dan komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh industri media yang profesional, berintegriti dan berdaya saing.