RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kira-kira 20,000 orang dijangka hadir memeriahkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 pada 31 Disember ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kaunselor Michelle Law, pelbagai program menarik telah disusun bagi sambutan ambang tahun baharu tersebut yang akan bermula pada jam 8 malam.
“Kami menganggarkan jumlah kehadiran pada malam tersebut sekitar 20,000 orang, iaitu lebih kurang sama seperti tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, kaunselor-kaunselor serta wakil daripada agensi kerajaan berkaitan.
Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 MPS yang bertemakan “Hearts United” akan diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
Law turut memaklumkan sebanyak 1,000 batang kayu cahaya berbentuk hati akan diedarkan secara rawak kepada orang ramai sebagai simbol kehangatan, kasih sayang dan perpaduan.
“Bersama-sama, cahaya berbentuk hati ini akan membentuk ‘lautan hati’ yang menakjubkan, sekali gus melambangkan jalinan erat dalam komuniti,” tambahnya.
Mengenai persembahan pentas, beliau berkata antara artis yang akan membuat persembahan ialah Daniel Lee, Ribbon Ooi dan Phoebe Chloe, DJ Sapphire serta kumpulan Candy & Select Band, di samping kumpulan tarian hebat seperti Elemenz, 8Dios dan Little Apple Dance Studio.
Law menambah bahawa Emcee Yann dan Emcee Fredz akan menghangatkan suasana dan memastikan orang ramai terus terhibur sepanjang acara.
Beliau berkata, kemuncak sambutan akan diserlahkan dengan pertunjukan bunga api yang menakjubkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama sepanjang acara berlangsung dengan tidak meletakkan kenderaan secara sewenang-wenangnya.
Penutupan jalan sementara akan dilaksanakan bermula dari persimpangan trafik bersebelahan bangunan WTK hingga ke bulatan Rosli Dhoby (di hadapan bangunan RPA) dari jam 6 petang sehingga tamat acara.
Selain itu, jalan di tepi Hotel RH juga akan ditutup kepada kenderaan sepanjang tempoh berkenaan.