Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Internet: Bimbingan ibu bapa, guru semakin penting

Posted on 17 Dec 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Pendedahan berlebihan terhadap kandungan dalam talian dan platform digital semakin mempengaruhi cara kanak-kanak berkomunikasi, sekali gus meningkatkan kepentingan peranan ibu bapa dan guru dalam memberi bimbingan.

Presiden Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata, pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, malah perlu memberi penekanan kepada penggunaan bahasa yang baik, adab sopan serta pembentukan sahsiah bagi mempersiapkan murid menghadapi kehidupan sebenar.

“Pendidikan bukan sekadar memperolehi keputusan cemerlang, tetapi juga membentuk keperibadian murid, khususnya dalam cara bertutur dan melayan orang lain,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Anugerah Akademik dan Kokurikulum Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua, hari ini.

Menurut Lau, pengaruh bahasa yang beremosi, berlebih-lebihan dan kadangkala agresif di media sosial serta platform video sering ditiru secara tidak langsung oleh murid di sekolah dan di rumah, sehingga menjejaskan nilai kesopanan dan rasa hormat.

Beliau menegaskan, penggunaan Internet pada hari ini tidak dapat dielakkan, namun kanak-kanak perlu dibimbing dengan batasan yang jelas.

“Isunya kini bukan lagi sama ada kanak-kanak harus menggunakan Internet atau tidak, tetapi bagaimana mereka dibimbing untuk menggunakannya dengan betul.

“Ibu bapa dan guru perlu menetapkan had serta menjadi contoh melalui komunikasi yang berhemah,” katanya.

Sementara itu Guru Besar Yu Siong Chiew berkata, pihak sekolah terus komited melaksanakan pendidikan holistik yang mengimbangi kecemerlangan akademik dengan disiplin, nilai murni dan pembangunan kepimpinan.

Beliau berkata, tema 'Pelajar Hari Ini, Pemimpin Masa Hadapan' mencerminkan usaha sekolah memupuk ciri kepimpinan dalam kalangan murid sejak usia muda melalui bimbingan berterusan dan pembentukan sahsiah.

“Pendidikan bukan hanya berasaskan akademik.

“Kita turut menitikberatkan disiplin, kawalan diri dan nilai murni agar murid membesar menjadi individu yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Yu turut memberitahu, prestasi akademik sekolah serta pencapaian dalam aktiviti kokurikulum menunjukkan peningkatan tahun ini hasil penambahbaikan strategi pengajaran, sikap pembelajaran yang positif serta kerjasama erat antara guru dan ibu bapa.

Seramai 97 murid Tahun Enam dan 25 kanak-kanak prasekolah menerima sijil tamat pengajian pada majlis tersebut, manakala murid lain turut menerima pengiktirafan atas kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman