RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Fatimah Othman, ibu kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa'ee, meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat sakit tua di Pusat Perubatan Rejang (RMC) di sini, malam Selasa.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 malam ketika menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan.
Jenazah telah dibawa ke kediaman Dr Annuar di Nombor 19B, Jalan Kangkung, di sini pagi Rabu bagi urusan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan terdekat.
Jenazah Allahyarhamah seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang.
Allahyarhamah merupakan isteri kepada Allahyarham Rapa'ee Tarip dan dikenali sebagai seorang ibu yang penyayang serta dihormati dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Sepanjang perkahwinan, Allahyarhamah dikurniakan enam anak terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan serta lebih 20 cucu.