RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sebanyak 14 jenis barangan telah ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bagi Bahagian Sibu.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sibu Kelyn Bolhassan berkata, SHMMP Krismas 2025 ini bermula hari ini hingga 27 Disember 2025.
Senarai barangan harga terkawal bagi SHMPP Krismas 2025 adalah ayam tua hidup, kepak ayam, daging kambing biri-biri bertulang import, babi hidup (kawalan di peringkat ladang), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), lobak merah (China), tomato, lada Benggala hijau, cili merah, ubi kentang import (China), bawang merah besar dan bawang kuning besar.
"Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Kelyn, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum katanya, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
Sementara bagi syarikat katanya, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," jelasnya.
Kelyn juga mengingatkan peniaga agar mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan agar pengeluar, pemborong dan peruncit tidak menaikan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan Skim ini.
"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.
Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, laman sesawang e-aduan.kpdnhep.gov.my atau e-mel ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my.
Orang ramai juga boleh melapor atau hadir ke Pejabat KPDN Cawangan Sibu di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Blok 3 atau menghubungi nombor telefon Pejabat KPDN Cawangan Sibu 084-335622.