RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Lebih 60 belia dari sekitar Pelawan telah terlibat secara aktif dalam Program Jangkauan Komuniti Cawangan Pelawan yang berlangsung baru-baru ini di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), sekali gus mencerminkan semangat kesukarelawanan dan keterlibatan belia di peringkat akar umbi.
Program yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Pelawan dan Majlis Belia Malaysia (MBM), dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan melalui inisiatif Rakan Muda, bertujuan memperkasa pertubuhan belia tempatan serta mengetengahkan potensi dan keunikan belia di peringkat daerah.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Kapitan Ling Hua Wei yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang.
Turut hadir hadir, Pembantu Belia dan Sukan Bahagian Sibu Terence Tan, wakil MBM Ahmad Syahir Abdul Razak serta Pengarah Confucius Institute UTS Han Fu Le.
Penyertaan aktif para belia jelas terserlah menerusi pelbagai pengisian program termasuk gimik perasmian memotong reben dan aktiviti membalut 'Jiao Zi', yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada warisan budaya masyarakat Cina, malah menggalakkan interaksi dan integrasi sosial dalam kalangan belia berbilang kaum.
Program ini dilihat sebagai platform penting untuk memupuk kesedaran dalam kalangan belia tentang kepentingan nilai murni, perpaduan dan kelestarian budaya.
Diharapkan penglibatan lebih 60 belia ini menjadi permulaan kepada usaha berterusan dalam mempromosikan warisan budaya serta memperkenalkan amalan dan makanan tradisional kepada generasi muda di Sarawak.