RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Larian ‘New Year Fun Run & Fun Ride 2026’ anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) kembali pada 1 Februari ini dengan mengetengahkan tema Tahun Kuda.
Acara tahunan itu akan berlangsung di Pusat Komersial Pulau Li Hua di sini membabitkan dua kategori iaitu 'Fun Run' sejauh 3.8 kilometer serta 'Fun Ride' sejauh 15 kilometer.
Menurut penganjur, acara larian akan bermula pada jam 7.05 pagi, manakala acara berbasikal dilepaskan pada jam 7.50 pagi.
Tahun ini, laluan berbasikal turut diperkenalkan dengan segmen baharu melibatkan beberapa lokasi menarik.
Selain berlari dan berbasikal, peserta juga akan menyertai sesi zumba sebagai aksi pemanas badan, selain menikmati pelbagai aktiviti santai bersama keluarga.
Setiap peserta akan menerima sekeping kupon mi segera tajaan TKS Food Supplies Sdn Bhd serta berpeluang memenangi cabutan bertuah tajaan MeHome.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://iconceptevents.com/nyfrfr2026/
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 019-480 2460 (I-Concept).