RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sebuah bilik pejabat yang turut digunakan sebagai ruang pembaikan telefon mudah alih di tingkat satu sebuah premis perniagaan di Jalan Wong King Huo, di sini, mengalami kebakaran kecil pada malam Ahad.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.15 malam sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai pada jam 7.18 malam.
"Kebakaran melibatkan sebuah bilik pejabat dan ruang pembaikan telefon mudah alih dengan anggaran keluasan kira-kira 20 x 60 kaki persegi.
“Selepas membuat penilaian awal, anggota bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu saluran bantu mula air dari tangki jentera,” menurut kenyataan tersebut.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.50 malam dan operasi ditamatkan pada jam 8.20 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan benar-benar selamat.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi pemadaman melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum pasukan bomba beredar dan kembali ke balai.