Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

252 mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS di Sibu

Disiarkan pada 12 Jan 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Bahagian Sibu bagi menempatkan seramai 252 mangsa banjir setakat ini, susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu.

Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, tiga PPS yang diaktifkan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek dan Dewan Masyarakat Jeriah.

“PPS SK Bukit Arip menempatkan jumlah mangsa paling ramai, iaitu seramai 238 orang melibatkan 61 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga rumah panjang serta sebuah klinik kesihatan.

“Mangsa terdiri daripada penduduk Rumah Jimbai (18 KIR), Rumah David (16 KIR) dan Rumah Janting (27 KIR), selain tiga individu dari Klinik Kesihatan Sungai Arip yang turut terjejas akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Masyarakat Jeriah semasa penyerahan sumbangan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) kepada KIR mangsa banjir, petang Ahad.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa PPS di Dewan Masyarakat Jeriah sebelum ini menempatkan dua KIR dengan tujuh mangsa, manakala PPS di SMK Bukit Assek yang baharu dibuka semalam,  kini menempatkan satu KIR melibatkan tujuh mangsa.

“PPS Dewan Masyarakat Jeriah akan ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.

Dalam usaha menjaga kebajikan mangsa, beliau berkata, kerajaan menyediakan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang berpindah ke PPS.

“Mangsa menerima bantuan bakul makanan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan kepada mangsa sebanyak tiga kali sehari.

“Selain itu, syarikat minyak PETROS turut menyalurkan baucar makanan bernilai RM350 kepada setiap keluarga di samping sumbangan pakaian terpakai,” katanya.

Abang Mohamad Porkan turut menegaskan bahawa kebajikan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi bencana juga tidak diabaikan.

Beliau menambah, semua agensi yang terlibat terus bekerjasama bagi memastikan kebajikan mangsa dan petugas terpelihara serta operasi pengurusan banjir berjalan lancar.

Hadir sama, Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu Mej (PA) Mohd Reduan Aini, pemangku Pegawai Daerah Sibu Cynthia Ong Hshiang Ping serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sibu selaku Pegawai Selia Sosial Sylvia Lau Gin Si.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman