Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Situasi banjir di Sibu dilaporkan terkawal

Disiarkan pada 12 Jan 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Situasi banjir di daerah ini dilaporkan masih berada dalam keadaan terkawal walaupun beberapa kawasan rendah masih berada pada tahap berjaga-jaga susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu Mejar (PA) Mohd Reduan Aini berkata pemantauan mendapati paras air di beberapa lokasi terjejas menunjukkan trend penurunan secara perlahan.

Menurut beliau, pihaknya terus melaksanakan rondaan dan tinjauan berterusan di seluruh kawasan berisiko banjir bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

“Walaupun terdapat kawasan yang merekodkan air mulai surut, tahap kewaspadaan masih perlu ditingkatkan kerana keadaan cuaca tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai hari pertama sesi persekolahan, beliau berkata setakat ini APM tidak menerima sebarang permohonan bantuan daripada mana-mana individu atau ibu bapa untuk menghantar pelajar ke sekolah.

Menurutnya, keadaan laluan utama ke sekolah adalah selamat digunakan dan tiada paras air berbahaya direkodkan di jalan raya utama yang menghubungkan kawasan kediaman ke sekolah.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa lorong serta pekarangan rumah yang mengalami takungan air, namun masih boleh dilalui menggunakan kenderaan berat atau tinggi serta secara berjalan kaki,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Rezduan memaklumkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Jeriah telah ditutup secara rasmi pada jam 7 malam Ahad oleh Pejabat Daerah Sibu selepas keadaan banjir di kawasan berkenaan dilaporkan beransur pulih.

Beliau berkata, penyampaian bantuan kepada mangsa di PPS berkenaan telah dilaksanakan sendiri oleh Residen Bahagian Sibu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penduduk terjejas.

Sementara itu, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek telah dibuka semalam pada jam 2.30 petang bagi menempatkan sebuah Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan enam orang mangsa.

Menurut beliau, setakat pagi ini, tiada penambahan jumlah mangsa direkodkan di PPS tersebut dan situasi masih berada dalam keadaan terkawal.

“APM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat memasuki setiap lorong di kawasan Jerwit dan Sentosa untuk menilai paras air di dalam rumah penduduk. 

“Sekiranya keadaan didapati memudaratkan, penduduk akan dinasihatkan untuk berpindah ke PPS,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu serta pihak pengurusan dan pengetua SMK Bukit Assek atas kesiapsiagaan dan sokongan penuh dalam penyediaan PPS.

Menurutnya, dewan SMK Bukit Assek yang digunakan sebagai PPS terletak berasingan daripada blok akademik, sekali gus memastikan operasi pemindahan tidak mengganggu rutin harian serta proses pembelajaran murid.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman