RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus giat menjalankan pemantauan di kawasan perumahan rendah dan berisiko banjir di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu, Mejar (PA) Mohd Reduan Aini berkata, pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat menjalankan pemantauan dari lorong ke lorong bagi menilai paras air di kediaman penduduk yang terjejas.
“Sekiranya paras air didapati memudaratkan keselamatan, orang awam akan dinasihatkan supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu serta pihak pengurusan sekolah atas kesiapsiagaan dan sokongan penuh dalam menyediakan PPS di dewan sekolah.
Mohd Reduan berkata, kedudukan dewan sekolah yang berasingan daripada blok akademik membolehkan operasi PPS dilaksanakan tanpa menjejaskan rutin harian serta proses pengajaran dan pembelajaran murid.
Mengulas tinjauan lapangan, beliau berkata pemantauan dijalankan bermula jam 4 pagi hingga 5.45 pagi dalam keadaan cuaca mendung dengan paras air dilaporkan berada pada tahap mendatar.
Antara lokasi yang dipantau adalah Lorong Sentosa Utara 7 dengan paras air setinggi 0.16 meter, Lorong Sentosa 6 setinggi 0.11 meter serta Lorong Sentosa 8 setinggi 0.16 meter, melibatkan limpahan air di atas permukaan jalan.
Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati kawasan Sentosa Salim yang sering terdedah kepada risiko banjir berada dalam keadaan baik dan terkawal, manakala maklumat lanjut berkaitan situasi banjir akan terus disalurkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sementara itu, katanya, perkembangan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek di sini dilaporkan masih terkawal setakat awal pagi Selasa, dengan tiada penambahan mangsa direkodkan sehingga jam 8 pagi.
Katanya, PPS berkenaan yang dibuka pada jam 2.30 petang Isnin kini menempatkan satu Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan enam orang mangsa.
Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut pada jam 7.55 pagi.
Katanya, pembukaan PPS dibuat susulan kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan rendah sekitar Sentosa dan Jerwit akibat sistem perparitan yang tidak mampu menampung aliran air berlebihan.