RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Seorang wanita maut dalam nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan berhampiran lampu isyarat Kemuyang, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.38 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, loceng kecemasan dibunyikan pada jam 11.38 pagi dan jentera keluar satu minit kemudian sebelum tiba di tempat kejadian dalam tempoh 10 minit.
“Operasi menyelamat dimulakan pada jam 11.59 pagi dan keadaan berjaya dikawal pada jam 12.04 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Andy berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.41 tengah hari sebelum jentera bertolak balik ke balai.
Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan empat kenderaan dan mengakibatkan dua mangsa tersepit di dalam salah sebuah kenderaan.
“Seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan parah, manakala seorang wanita dilaporkan tidak sedarkan diri ketika ditemui,” katanya.
Menurut beliau, pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamat serta pengusung papan tulang belakang bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat itu melibatkan sebuah jentera pemadam kebakaran dan sebuah kenderaan perkhidmatan perubatan kecemasan bersama kekuatan anggota BBP Sungai Merah.
Selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, operasi turut disokong Polis Diraja Malaysia (PDRM), ambulans serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu mengawal lalu lintas dan pengurusan lokasi kejadian.