RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Seramai 21 individu telah didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan pelaksanaan 59 operasi khas oleh polis sepanjang tahun 2025 bagi membanteras aktiviti lumba haram yang turut menyaksikan sebanyak 240 motosikal disita dan 1,607 saman dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, tindakan tegas itu dilaksanakan bagi mengekang kegiatan berbahaya yang bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam.
“Isu lumba haram bukan sekadar satu kesalahan trafik sebaliknya berisiko tinggi menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di Padang Kawad IPD Sibu, di sini, hari ini.
Zulkipli turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa jenayah komersial khususnya kes penipuan atau scam terus mencatatkan kerugian besar apabila jumlah keseluruhan kerugian direkodkan sebanyak RM20.34 juta sepanjang tahun 2025.
Menurutnya, kerugian tertinggi melibatkan penipuan pelaburan dengan jumlah RM9.55 juta, diikuti kes penipuan pembelian dalam talian serta tawaran pekerjaan tidak wujud.
“Situasi ini merupakan satu isyarat amaran yang serius.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum terlibat dalam sebarang urusan kewangan,” katanya.
Mengulas prestasi keselamatan daerah Zulkipli berkata, jenayah indeks di Sibu mencatatkan penurunan ketara sebanyak 36.44 peratus, daripada 697 kes pada 2024 kepada 443 kes pada 2025.
Katanya, penurunan itu melibatkan jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan jenayah terancang hasil penguatkuasaan berterusan, selain peningkatan kualiti siasatan dan risikan oleh pihak polis.
Dalam pada itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu merekodkan sebanyak 1,471 tangkapan sepanjang 2025 berbanding 1,103 tangkapan pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,040 individu dikenal pasti sebagai penagih dadah, manakala nilai rampasan dadah turut meningkat kepada RM924,764 berbanding RM175,946 pada 2024.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen serta kesungguhan warga IPD Sibu dalam membanteras jenayah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.