Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Kenderaan pacuan empat roda terbakar di Jalan Deshon, Sibu

Disiarkan pada 21 Jan 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda musnah hampir keseluruhan selepas terbakar berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Deshon, di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.36 pagi itu, kenderaan berkenaan dilaporkan terbakar sehingga 90 peratus namun tiada mangsa terlibat.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.36 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.

Kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa,” menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak pantas menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari jentera bomba.

“Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya dalam tempoh kurang sejam sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.26 pagi, selepas memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pemeriksaan lanjut turut dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran semula di lokasi kejadian.

Sebanyak tiga jentera digunakan dalam operasi berkenaan iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” jelas kenyataan itu.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman