RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Warga Sarawak digesa agar meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin licik dan terancang, khususnya menjelang musim perayaan.
Gesaan itu disuarakan oleh Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak Lucas Lau sambil menambah, bentuk dan kaedah jenayah masa kini sentiasa berubah seiring dengan perkembangan teknologi.
Katanya, walaupun kadar jenayah fizikal dilihat menurun di beberapa kawasan, jenayah dalam talian atau jenayah siber pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
"Keghairahan orang ramai mencari tawaran hebat, diskaun besar atau ganjaran lumayan sempena musim perayaan sering menjadi sasaran sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan mudah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lau turut merujuk kepada data awam sehingga akhir tahun 2025 yang menunjukkan kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia telah melonjak secara drastik, dengan jumlah kes mencecah puluhan ribu dan nilai kerugian terkumpul melebihi RM2.7 bilion.
Tegasnya, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan ancaman sebenar terhadap keselamatan kewangan rakyat.
"Sebahagian besar kes menunjukkan bahawa selepas wang berpindah tangan, hampir tiada apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkannya semula.
"Justeru, masyarakat perlu menjadi pengguna bijak yang lebih peka dan tangkas sebelum terperangkap," ujarnya.
Lau turut menjelaskan, kesan penipuan siber bukan sahaja melibatkan kerugian individu, malah memberi impak besar terhadap ekosistem perniagaan yang sah.
Katanya, peningkatan kes scam boleh menghakis kepercayaan pengguna terhadap transaksi digital, sekali gus menjejaskan peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan secara jujur, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang bergantung kepada platform e-dagang.
"Ketakutan pengguna untuk berbelanja dalam talian akibat pengalaman ditipu boleh melumpuhkan pertumbuhan ekonomi tempatan," katanya sambil menegaskan bahawa pembanterasan scam penting bagi mengekalkan integriti pasaran dan reputasi peniaga yang telus.
Sebagai langkah keselamatan, beliau menekankan kepentingan tindakan pantas sekiranya seseorang menyedari mereka menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi bank masing-masing melalui talian bantuan 24 jam atau melaporkan kejadian kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
"Laporan awal amat kritikal bagi membolehkan pihak berkuasa menyekat aliran keluar wang mangsa daripada sistem perbankan," jelasnya.
Selain itu, orang ramai digalakkan membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang mencurigakan melalui portal SemakMule Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan sebarang transaksi.
Lau berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan badan berkuasa dan agensi penguatkuasaan untuk menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran di seluruh negeri.
Beliau turut menyatakan kesediaan MTPN Sarawak untuk menyokong dan menyertai sebarang program komuniti yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepenggunaan dan hak pengguna.
Lau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan prinsip “siasat sebelum percaya” dan tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga.
"Saya menyeru rakyat Sarawak supaya bersatu meningkatkan literasi kewangan dan digital bagi mengelakkan diri daripada terus menjadi mangsa kepada perancangan licik para penjenayah siber yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.