RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Sibu (ILKKM Sibu) telah mengadakan Ceramah Antidadah sebagai usaha berterusan melahirkan modal insan kesihatan yang bukan sahaja kompeten, malah memiliki jati diri dan integriti yang kukuh.
Program yang berlangsung pada Khamis melibatkan seramai 47 orang pelatih Diploma Kejururawatan (Pra Perkhidmatan) Ambilan Januari 2026, dengan fokus kepada pemerkasaan nilai integriti serta pendedahan awal terhadap bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Penganjuran program tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara ILKKM Sibu dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu, selaras dengan usaha kerajaan membendung gejala dadah dalam kalangan generasi muda, khususnya bakal petugas kesihatan.
Menurut AADK Daerah Sibu, selain para pelatih sesi ceramah itu turut disertai barisan pengajar dan jurulatih klinikal institut berkenaan.
Kehadiran warga kerja ILKKM Sibu, katanya, mencerminkan komitmen institusi dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang bebas dadah serta menyokong aspirasi nasional “Dadah Terkawal 2030”.
"Dalam ceramah yang disampaikan, AADK Daerah Sibu menekankan peranan penting jururawat sebagai barisan hadapan sistem kesihatan yang sering berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
"Justeru, pendedahan awal berkaitan isu dadah dianggap kritikal bagi memastikan bakal jururawat tidak terjebak dengan pengaruh negatif, di samping mampu berperanan sebagai ejen penyampai maklumat yang tepat kepada komuniti," katanya dalam satu hantaran di lama sosialnya.
Program berkenaan mencapai kemuncaknya apabila seramai 44 orang pelatih mendaftar sebagai ahli SKUAD Antidadah, sekali gus membuktikan komitmen tinggi mereka dalam menyokong usaha pencegahan dadah di peringkat institusi dan masyarakat.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat menjadi benteng pertahanan yang kukuh kepada para pelatih, seterusnya melahirkan graduan ILKKM yang berdisiplin, berwawasan serta bebas daripada anasir negatif demi kesejahteraan negara.