RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Penduduk Kampung Bahagia Jaya Teku meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan jalan kampung oleh lori-lori tanah yang menjalankan kerja di kawasan Rantau Panjang Jaya, meskipun Jalan Trusan telah disediakan sebagai laluan rasmi kenderaan berat.
Penghulu Kampung Bahagia Jaya Teku, Mirza bin Mohamad, berkata lori-lori berkenaan didapati kerap menggunakan Jalan Kampung Bahagia Jaya Teku, sekali gus menimbulkan risiko kerosakan infrastruktur jalan dan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.
“Penggunaan jalan kampung oleh lori berat amat membimbangkan, khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas yang menggunakan laluan ini setiap hari.
“Jalan ini bukan direka untuk menampung beban kenderaan berat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada penggunaan Jalan Kampung Bahagia Jaya Teku oleh lori-lori berkenaan telah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Sibu.
“Jika tiada kelulusan, mengapa tiada tindakan penguatkuasaan sedangkan laluan alternatif iaitu Jalan Trusan telah disediakan?
“Pihak berkuasa tidak seharusnya berdiam diri apabila kemudahan awam dan keselamatan penduduk terjejas,” tegasnya.
Penduduk kampung, katanya, menuntut tindakan segera termasuk arahan tegas supaya semua lori berat menggunakan Jalan Trusan sebagai laluan rasmi, selain penguatkuasaan tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan orang awam terpelihara.
Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil perhatian serius terhadap aduan ini dan bertindak segera sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.