Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Usaha pemasangan lampu jalan LED dipercepat

Disiarkan pada 28 Jan 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang mempercepatkan usaha mengemukakan permohonan pemasangan lampu jalan jenis LED di beberapa laluan utama di bandar ini menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM600,000.

Pengerusi MPS Clarence Ting (gambar) berkata, surat permohonan bagi projek berkenaan sepatutnya telah disiapkan dan dikemukakan pada minggu lalu, namun sehingga kini masih belum diterima oleh pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, kelewatan tersebut sedang ditangani dan pihak majlis memberi keutamaan untuk memastikan permohonan berkenaan dapat dihantar dalam masa terdekat bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan kelulusan.

Katanya, permohonan itu melibatkan empat lokasi utama yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan pencahayaan iaitu Jalan Awang Ramli Amit, Jalan Brook Drive, Jalan Deshon serta kawasan Pelawan.

“Kesemua laluan ini merupakan kawasan yang sibuk dan sering digunakan orang awam, justeru pemasangan lampu jalan LED adalah penting bagi meningkatkan tahap keselamatan, terutama  pada waktu malam,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Sibu yang pertama bagi tahun ini, hari imi.

Menurut Ting, projek pemasangan lampu jalan LED tersebut merupakan antara keutamaan MPS bagi tahun 2026 dan selari dengan usaha majlis untuk menambah baik kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk.

“Kita berharap projek ini dapat dilaksanakan dalam tahun ini juga, tertakluk kepada kelulusan dan peruntukan daripada pihak kementerian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa  Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling telah menyatakan kesediaan untuk membantu menyokong permohonan berkenaan, yang disifatkan sebagai satu perkembangan positif kepada usaha majlis.

Sokongan itu katanya, diharap dapat memperkukuh permohonan MPS dan mempercepat proses kelulusan projek demi kepentingan keselamatan dan keselesaan orang ramai.

Sehubungan itu, Ting berharap pertemuan dengan pihak KPKT dapat diatur dalam masa terdekat bagi membincangkan permohonan tersebut serta langkah seterusnya ke arah pelaksanaan projek.

Selain projek lampu jalan LED, beliau berkata terdapat beberapa lagi program di bawah KPKT yang berpotensi dimanfaatkan oleh kawasan pentadbiran MPS bagi meningkatkan kemudahan awam.

“Saya telah mengemukakan cadangan supaya kawasan kita turut dimasukkan dalam program pemasangan lampu jalan sedia ada manakala permohonan lain akan dibentangkan secara berasingan kepada KPKT bagi tujuan pembiayaan,” jelasnya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman