RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) akan menganjurkan Program Derma Darah pada 3 Februari ini bagi membantu memastikan bekalan darah di Hospital Sibu sentiasa mencukupi dan berterusan.
Kempen dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Transfusi Darah Sibu itu akan diadakan di Ruang Legar Lapangan Terbang Sibu dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang.
Kenyataan akhbarnya menyatakan program ini sebahagian daripada usaha berterusan MASB dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah sebagai amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa.
"Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menjayakan kempen ini.
"Setiap titisan darah yang didermakan amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan," ujarnya.
Tambahnya, kempen ini juga bertujuan memastikan bekalan darah di Bank Darah Hospital Sibu sentiasa berada pada tahap mencukupi bagi kegunaan kes kecemasan, pembedahan dan rawatan pesakit.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen derma darah sepanjang tahun 2026 boleh mengikuti Facebook, Instagram dan TikTok Bank Darah Hospital Sibu.