Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Aspek keselamatan di kolam kumbahan Sibu Jaya perlu diperkasa, elak tragedi lemas berulang: Bomba

Posted on 05 Feb 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Tragedi lemas yang meragut nyawa tiga kanak-kanak di kolam kumbahan Sibu Jaya sekali lagi mendedahkan kegagalan berpanjangan dalam pengurusan keselamatan kawasan berisiko tinggi meskipun insiden serupa pernah berlaku di lokasi sama pada 2019.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, kolam berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan larangan dan sebelum ini telah dilengkapi pagar keselamatan serta papan tanda amaran.

Namun, katanya, semua langkah itu gagal berfungsi secara berkesan berikutan vandalisme berulang serta kelemahan pemantauan berterusan, sekali gus menjadikan kawasan tersebut mudah dicerobohi orang awam termasuk kanak-kanak.

Beliau mendedahkan pagar keselamatan di sekeliling kolam itu kerap dirosakkan atau dipecahkan sekali gus menafikan fungsi asas kawalan keselamatan dan membuka akses tanpa halangan ke kawasan berbahaya berkenaan.

“Penilaian risiko oleh pihak bomba mengambil kira kedalaman dan keluasan kolam, struktur pagar, laluan akses serta keberkesanan tanda larangan.

“Dalam kes ini, hampir semua elemen kritikal keselamatan berada pada tahap lemah atau gagal berfungsi,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Andy, kolam kumbahan itu sememangnya berisiko tinggi menjadi lokasi tragedi lemas berikutan pagar yang tidak kukuh, ketiadaan tanda amaran keselamatan yang jelas selepas papan tanda hilang serta ketiadaan mekanisme kawalan berkesan bagi menghalang pencerobohan.

Beliau turut menegaskan faktor paling membimbangkan ialah kecuaian sosial khususnya kurang pemantauan ibu bapa terhadap kanak-kanak yang bermain di kawasan berbahaya walaupun lokasi tersebut telah diwartakan sebagai kawasan larangan.

Katanya, tragedi terbaharu itu bukan kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistemik memandangkan kes lemas di kolam sama pernah direkodkan pada 2019.

“Namun, langkah pencegahan jangka panjang tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.

“Apabila insiden berulang di lokasi sama selepas beberapa tahun, ia menunjukkan amaran awal tidak diambil serius dan isu keselamatan dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian tuntas,” tegasnya.

Susulan kejadian itu, JBPM menggesa tindakan segera dan tegas termasuk pembinaan semula pagar keselamatan benar-benar kukuh termasuk pemasangan tanda amaran yang jelas dan kekal serta penguatkuasaan berterusan, bukan sekadar tindakan bermusim selepas tragedi berlaku.

Andy turut menekankan keperluan pemantauan berkala oleh pihak berkuasa tempatan dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kawasan larangan dipatuhi dan tidak lagi dicerobohi sewenang-wenangnya.

Dalam masa sama, JBPM akan mempergiat kempen kesedaran keselamatan komuniti, khususnya berkaitan keselamatan air dan bahaya kawasan takungan.

Namun demikian, Andy menegaskan bahawa kempen semata-mata tidak memadai tanpa tindakan fizikal dan penguatkuasaan yang konsisten.

Beliau berkata pencegahan berkesan hanya boleh dicapai melalui kerjasama serius pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain komitmen masyarakat untuk mematuhi larangan keselamatan.

“Tragedi ini sepatutnya menjadi peringatan keras bahawa isu keselamatan tidak boleh ditangani secara reaktif.

“Nyawa kanak-kanak tidak seharusnya menjadi harga kepada kelewatan tindakan,” katanya.

Pada Rabu, tiga kanak-kanak meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya, di sini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Macx Devdynne Sharie Merdeka, 12, Macx Welwait Merdeka, 9, dan Daniella Arissa Tayas Maringgai, 10.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.03 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.

Menurut kenyataan itu, setibanya pasukan bomba di lokasi, ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai telah terjatuh ke dalam kolam kumbahan berkenaan yang dianggarkan sedalam kira-kira dua meter.

Bagaimanapun, kesemua mangsa telah dibawa naik ke tebing kolam oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pemeriksaan lanjut oleh KKM mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman