RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kehilangan tiga nyawa kanak-kanak di sebuah kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya di sini semalam mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat terhadap tahap keselamatan persekitaran kediaman mereka.
Pengerusi Protem Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Flat Blok N Sibu Jaya Lorita Sawang (gambar) berkata, tahap keselamatan di kolam kumbahan berkenaan masih tidak mencukupi walaupun terdapat papan tanda amaran di kawasan tersebut.
Menurut beliau, laluan menuju ke kolam itu sudah dipasang papan tanda amaran yang dipercayai disediakan pihak pemaju perumahan berhampiran namun masih tidak berkesan menghalang kemasukan orang awam khususnya kanak-kanak.
Beliau berkata, laluan berkenaan turut pernah dilengkapi pagar berserta pintu yang dibina menggunakan bahan spandeks.
“Bagaimanapun, pagar dan pintu tersebut telah dibuka bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan, selain terdedah kepada vandalisme sehingga menyebabkan kawasan itu mudah diakses dan tidak dikawal secara konsisten,” katanya ketika ditemui hari ini.
Lorita menegaskan, kolam kumbahan berkenaan perlu dilengkapi dengan kawalan fizikal yang lebih menyeluruh termasuk pemasangan pagar kekal, jaring dawai keselamatan atau pintu besi kukuh pada bahagian permukaan kolam.
“Selagi permukaan kolam dibiarkan terbuka, risiko kemalangan dan kehilangan nyawa akan terus wujud,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, penduduk flat kini berada dalam keadaan trauma khususnya ibu bapa yang bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka setiap kali berada di luar rumah.
Katanya, kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja dan tidak mampu memantau anak-anak sepanjang masa, justeru aspek keselamatan persekitaran perlu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak.
Mengulas lanjut Lorita berkata, tidak wajar untuk terus menyalahkan ibu bapa sedangkan kelemahan struktur keselamatan di kawasan itu telah lama diketahui dan pernah mengorbankan nyawa sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta pemaju terlibat agar mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan langkah keselamatan yang lebih berkesan dilaksanakan demi mengelakkan tragedi sama daripada berulang.