Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Penduduk Flat Sibu Jaya adakan upacara miring susulan tragedi lemas

Posted on 09 Feb 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Penduduk Flat Sibu Jaya mengadakan upacara miring pada Ahad susulan tragedi lemas di kolam kumbahan berhampiran kawasan perumahan itu yang meragut nyawa tiga kanak-kanak, baru-baru ini.

Upacara berkenaan turut disertai hampir kesemua pengerusi protem Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Flat Sibu Jaya, yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu keselamatan di kawasan perumahan tersebut yang sangat padat dengan penduduk.

Penduduk berpandangan bahawa tahap kepadatan tinggi di kawasan flat berkenaan menuntut pendekatan keselamatan yang lebih ketat, sistematik dan menyeluruh berbanding kawasan perumahan biasa.

Pengerusi Protem JKKK Blok N Lorita Sawang berkata, tragedi tersebut telah mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan keselamatan persekitaran kawasan flat, khususnya di lokasi berisiko yang terletak berhampiran kawasan kediaman padat.

“Tragedi ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan di kawasan berisiko tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila ia terletak terlalu hampir dengan kawasan kediaman yang dihuni ramai penduduk,” katanya.

Menurutnya, infrastruktur keselamatan seperti pagar di sekitar kolam kumbahan didapati tidak lagi berfungsi dengan berkesan, sekali gus meningkatkan risiko kepada penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Di kawasan padat seperti ini, kegagalan fungsi pagar atau sistem keselamatan lain bukan isu kecil kerana ia melibatkan keselamatan ratusan penduduk, termasuk kanak-kanak,” tegasnya.

Pandangan itu disokong Ketua Flat Blok A Osman Abdullah yang berkata, kepadatan penduduk yang tinggi menjadikan keperluan kawalan keselamatan lebih kritikal dan tidak boleh bersifat minimum.

“Kawasan flat yang padat memerlukan tahap keselamatan lebih tinggi berbanding kawasan perumahan biasa kerana sebarang risiko akan memberi kesan kepada ramai orang dalam satu masa,” katanya.

Menurut beliau, risiko keselamatan turut meningkat susulan pembangunan projek-projek baharu di sekitar kawasan tersebut yang mengubah landskap persekitaran dan menambah pendedahan kepada kawasan berbahaya.

“Apabila pembangunan baharu berlaku di sekeliling kawasan flat, penilaian risiko keselamatan perlu dibuat secara berkala dan bukan selepas tragedi berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Flat Blok H Muhammad Hazim Abdullah mencadangkan supaya tembok konkrit setinggi kira-kira enam kaki dibina sepenuhnya di sekeliling kawasan berisiko sebagai langkah perlindungan fizikal yang lebih berkesan.

“Langkah fizikal seperti tembok konkrit yang kukuh perlu dilaksanakan kerana ia lebih sesuai dengan realiti kepadatan penduduk dan pergerakan kanak-kanak di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, langkah keselamatan tersebut perlu dijadikan sebahagian daripada pelan keselamatan jangka panjang dan bukan sekadar tindak balas sementara terhadap insiden tragis.

Dalam pada itu, penduduk turut menggesa supaya kawasan rekreasi di kawasan kediaman flat dibersihkan dan disenggara secara lebih sistematik agar kanak-kanak mempunyai ruang bermain yang selamat dalam kawasan perumahan.

“Apabila kawasan rekreasi tidak diselenggara dan dipenuhi struktur haram, kanak-kanak akan mencari tempat lain untuk bermain, termasuk kawasan yang berbahaya,” menurut seorang wakil penduduk.

Mereka juga menuntut supaya semua struktur haram di sekitar kawasan flat dirobohkan bagi mengelakkan kanak-kanak bermain di luar kawasan kediaman yang berisiko tinggi.

Penduduk menegaskan bahawa jaminan keselamatan di kawasan perumahan berpenduduk padat mesti diterjemahkan melalui dasar yang jelas, penguatkuasaan konsisten serta pemantauan berterusan.

“Kami tidak mahu jaminan secara lisan semata-mata. Keselamatan perlu dilaksanakan melalui tindakan nyata dan pemantauan berterusan,” tegas mereka.

Mereka berharap pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera dan menyeluruh demi memastikan keselamatan komuniti Flat Sibu Jaya sejajar dengan standard keselamatan kawasan perumahan padat.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman