RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM110,000 bagi meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan di sekitar kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melalui pemasangan 55 batang lampu solar.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, pihaknya akan terus memastikan aspek keselamatan terus diberi keutamaan dalam semua komponen berkaitan.
Katanya, pencahayaan merupakan elemen yang amat penting dalam menjamin keselamatan.
“Walaupun terdapat pasukan penguatkuasaan, kita juga perlu mengambil langkah menjaga keselamatan diri.
“Jangan sampai anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan terpaksa berdepan dengan risiko dan terdedah kepada bahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan projek di bawah dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong itu yang telah siap pada Ahad.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut memuji usaha Kelab Polis IPD Sibu yang memasang sendiri lampu solar berkenaan secara bergotong-royong.
Beliau berkata, semangat kerjasama ini membuktikan keupayaan masyarakat setempat melaksanakan projek dengan lebih cekap dan menjimatkan kos berbanding melalui proses tender.
“Walaupun kita mahu menjaga kepentingan kontraktor kelas F atau kandungan tertentu, namun sekiranya rakyat mampu melaksanakan projek tersebut, maka peluang wajar diberikan,” ujarnya.
Beliau menambah, walaupun IPD Sibu bukan berada dalam kawasan jagaannya, namun beliau tidak menolak untuk menghulurkan bantuan memandangkan pihak polis memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga keselamatan orang awam di seluruh kawasan Sibu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili merakam penghargaan kepada Tiong kepada Tiong serta Kerajaan Sarawak atas penyaluran peruntukan RTP yang membolehkan projek berkenaan disiapkan sepenuhnya.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Yang Berhormat (Tiong) bersetuju untuk memperuntukkan RM100,000 lagi bagi tujuan yang sama.
“Pemasangan lampu solar ini memberikan manfaat besar dari segi keselamatan dan keselesaan, khususnya di kawasan IPD,” katanya.