RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Para peniaga khususnya dalam sektor makanan diseru supaya menilai struktur kos secara menyeluruh dan bertindak secara rasional apabila berlaku turun naik kecil harga bahan mentah tanpa terburu-buru menaikkan harga jualan secara menyeluruh.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, kenaikan kecil harga bahan tertentu seperti gula tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan secara keseluruhan, sebaliknya peniaga perlu berusaha mengekalkan harga demi kelangsungan jangka panjang perniagaan serta kepentingan pengguna.
"Perniagaan yang berjaya ialah perniagaan yang menitikberatkan reputasi dan kelangsungan jangka panjang.
"Pelarasan harga perlu dibuat secara berhemah kerana apabila kos menurun, harga jualan lazimnya sukar untuk disesuaikan dengan segera," katanya semasa berucap menyempurnakan Majlis Penutupan The Big Deal Expo 2026 di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting yang mewakilinya menyempurnakan majlis tersebut.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak bermula daripada projek berskala besar semata-mata, sebaliknya dipacu oleh aktiviti komuniti serta peniaga kecil dan sederhana (PKS).
Apabila perniagaan komuniti berkembang, katanya, perbelanjaan akan kekal dalam kawasan setempat dan seterusnya merangsang peluang ekonomi tempatan.
"Dalam pada itu, para peniaga disaran mengamalkan prinsip keuntungan kecil dengan jualan tinggi, menawarkan harga berpatutan serta mengekalkan kualiti dan konsistensi produk bagi membina kepercayaan pelanggan," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Menurutnya, The Big Deal Expo 2026 menghimpunkan lebih 70 peniaga merangkumi jenama terkenal serta usahawan tempatan, sekali gus menjadi platform penting untuk pendedahan jenama, jaringan perniagaan dan interaksi langsung dengan pengguna.
Tiong turut menggalakkan peniaga agar terus berinovasi, mengamalkan profesionalisme dan menjadikan integriti sebagai teras perniagaan, khususnya dalam mendepani cabaran kos operasi yang meningkat serta persaingan pasaran yang semakin sengit.
"Hanya dengan keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan sendiri, barulah keyakinan dapat dizahirkan kepada pelanggan, sekali gus membina kepercayaan masyarakat dan reputasi yang baik secara berperingkat.
"Dengan langkah yang mantap dan konsisten, saya yakin perniagaan akan terus berkembang dan berdaya tahan," ujarnya.
Tiong menyifatkan ekspo berkenaan bukan sekadar acara jualan jangka pendek, sebaliknya berkembang sebagai platform berterusan untuk memupuk jenama tempatan dan merancakkan ekonomi komuniti di Sibu.
"Saya berharap acara ini bukan sekadar sebuah pameran jualan jangka pendek, tetapi dapat berkembang menjadi platform jangka panjang bagi memupuk jenama tempatan, menggalakkan pertukaran idea dalam kalangan peniaga serta merancakkan ekonomi komuniti.
"Dengan penyertaan dan sokongan berterusan daripada semua pihak, ia pasti memberi impak positif yang berpanjangan kepada pembangunan perniagaan di Sibu," tambahnya.
Hadir sama, Pengarah The Big Deal Expo 2026 Wesley Lee serta tetamu jemputan yang lain.