RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas dua buah lori terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu 12, tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan bantuan BBP Sarikei ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, kemalangan membabitkan sebuah lori muatan baja yang melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki.
“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati dua lelaki yang juga kelindan lori muatan baja tersepit di dalam kabin manakala pemandu lori berkenaan berjaya keluar sendiri dalam keadaan cedera,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran serius berikutan ruang kerja yang sempit, struktur kabin yang remuk serta kedudukan kedua-dua kenderaan yang bertindih.
Keadaan itu menyukarkan anggota bomba untuk mengakses mangsa yang tersepit.
Pasukan bomba terpaksa menunggu bantuan sebuah lori dari Sarikei bagi menarik dan menstabilkan kenderaan terbabit untuk membuka ruang kerja yang lebih selamat sebelum operasi mengeluarkan mangsa dapat dijalankan sepenuhnya.
Seorang mangsa yang berada dalam keadaan sedar berjaya dikeluarkan selepas operasi merenggangkan struktur kabin menggunakan peralatan ‘telescopic ram’.
Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa yang tidak sedarkan diri, dikenali sebagai Stanley Ali, 30, disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian.
Pasukan bomba seterusnya menggunakan peralatan pemotong hidraulik bagi memotong bahagian kabin yang tersepit sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Dua mangsa yang cedera masing-masing berusia 22 dan 30 tahun.
Seramai 13 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Turut berada di lokasi ialah tujuh anggota polis serta enam petugas KKM.
Operasi ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.