Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Pemilik bangunan runtuh di Sibu belum dibenarkan masuk ke lokasi demi keselamatan: Tiang

Disiarkan pada 24 Feb 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

IBU: Pemilik kedai yang terjejas akibat insiden runtuhan bangunan di sini kekal tidak dibenarkan memasuki premis masing-masing sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat.

Menurut kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang yang disiarkan di Facebook rasminya pada Isnin, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Keselamatan nyawa adalah keutamaan. Walaupun kami memahami keinginan pemilik untuk mengambil barangan mereka namun sebarang kemasukan hanya boleh dilakukan selepas pakar mengesahkan struktur bangunan selamat,” katanya.

Pada Isnin, beliau mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti perkembangan siasatan serta penilaian keselamatan berhubung insiden runtuhan bangunan kedai tersebut.

Katanya, penilaian profesional oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) menunjukkan laporan awal mengesahkan bangunan berada dalam keadaan amat tidak selamat.

“Struktur bangunan berisiko tinggi untuk dimasuki dan terdapat kemungkinan runtuhan susulan,” jelas Tiang.

Larangan memasuki premis masih dikuatkuasakan sehingga pemeriksaan lanjut selesai dilaksanakan.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau juga bersetuju melantik pakar bebas untuk menjalankan penilaian teknikal terperinci.

Beliau menegaskan, langkah ini penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berdasarkan dapatan profesional yang menyeluruh.

Pihak berkuasa juga sedang meneliti tindakan susulan yang bersesuaian termasuk kemungkinan perobohan sepenuhnya bangunan sekiranya didapati tidak lagi selamat.

“Segala tindakan akan dilaksanakan secara berhati-hati dan sistematik bagi mengelakkan risiko kepada orang awam serta premis berhampiran,” katanya.

Tiang turut menggesa pemilik premis menyediakan senarai inventori barangan masing-masing bagi memudahkan urusan dokumentasi dan proses susulan.

“Kami akan terus memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Diharapkan semua pihak dapat bersabar sementara proses keselamatan ini diselesaikan,” tambah beliau.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman