RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Seorang penjawat awam wanita berusia lingkungan 30-an mengalami kerugian sebanyak RM404,045 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Boniface Bajai berkata, mangsa membuat laporan polis pada Selasa setelah menyedari dirinya ditipu dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
“Mangsa mula terlibat dalam skim pelaburan itu pada Oktober 2025 selepas melihat iklan di aplikasi Facebook yang menggunakan nama ABS (Akademi Pelaburan Saham ABS) dan aplikasi ‘Astute’.
“Mangsa kemudian dihubungi melalui Messenger sebelum diminta menyertai kumpulan WhatsApp ‘P-1-ABS’,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, seorang wanita yang mendakwa sebagai pembantu kepada ‘guru pelaburan’ berhubung dengan mangsa dan pada peringkat awal memberikan cadangan saham.
Malah, mereka pernah memulangkan 80 peratus daripada kerugian awal mangsa sebanyak RM515.20, sekali gus meningkatkan keyakinan mangsa terhadap pelaburan tersebut.
Mangsa digalakkan membuka akaun pelaburan melalui aplikasi Astute dan membuat 18 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan RM404,045.
Mangsa mula curiga apabila diminta membayar 20 peratus daripada keuntungan sebelum boleh mengeluarkan dividen.
Sehingga kini, wang tersebut tidak dapat dikeluarkan.
Boniface menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.
“Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu melalui laman web Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, atau menggunakan aplikasi Investment Checkers,” jelasnya.
Sebarang maklumat lanjut atau nasihat boleh diperoleh melalui Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP dan @JSJKPDRM.
Orang ramai juga boleh membuat semakan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman semak mule CCID.