Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Insiden bangunan runtuh di Jalan Pahlawan: Pemilik boleh ambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab

Disiarkan pada 25 Feb 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Pemilik bangunan yang terlibat dalam insiden runtuhan di Jalan Pahlawan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab termasuk pihak berkuasa tempatan. 

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, langkah awal yang dilaksanakan ialah protokol pengambilan terkawal bagi membolehkan pemilik premis mengambil barangan berharga masing-masing. 

“Kita mulakan dengan protokol pengambilan terkawal untuk mengeluarkan barangan berharga. Selepas itu, kita akan meneliti punca kegagalan struktur dengan melantik jurutera geoteknikal serta pakar berkaitan bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

“Proses ini dijangka mengambil masa beberapa bulan kerana mereka perlu membuat pemerhatian rapi,” katanya ketika ditemui media selepas memantau operasi pengambilan barangan oleh dua pengusaha premis, pada Rabu. 

Menurut beliau, selepas punca sebenar dikenal pasti, proses perobohan bangunan akan dirancang dan dilaksanakan oleh pemilik dengan kos ditanggung sepenuhnya. 

“Semasa kerja perobohan dijalankan, pemilik juga boleh mengambil baki barangan yang tidak sempat dikeluarkan sebelum ini. Selepas perobohan selesai, barulah kita meneliti isu liabiliti undang-undang,” jelasnya. 

Beliau menegaskan mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan perlu berdepan tindakan undang-undang.

“Jika pemilik mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab, teruskan. Walaupun hasil siasatan mendapati pihak tertentu bertanggungjawab, tiada siapa kebal daripada undang-undang,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, dua pengusaha premis di tingkat bawah bangunan terbabit diberi kebenaran khas memasuki premis untuk mengambil barangan penting dengan kawalan ketat.

Bagaimanapun, penyewa di tingkat atas masih tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan. 

Pengerusi MPS, Clarence Ting, berkata pihaknya akan memastikan sebarang operasi susulan dimaklumkan kepada media bagi menjamin ketelusan.

“Pada masa depan, jika ada operasi seumpama ini, kita akan maklumkan kepada media. Kita tidak mahu lakukan secara rahsia. Biarlah semua pihak tahu,” katanya. 

Beliau menambah tempoh kemasukan ke premis diberikan dalam jangka masa singkat dan dikawal rapi bagi meminimumkan risiko.

“Polis tidak membenarkan enjin kenderaan dihidupkan dalam premis kerana kita mahu mengelakkan sebarang getaran.

Bangunan ini masih bergerak. Kita mengambil segala langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua pihak,” jelasnya. 

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman