RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok dan minuman keras disyaki tanpa cukai kastam dengan nilai keseluruhan RM1.36 juta dalam operasi penguatkuasaan, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan terbabit yang melibatkan 1,560,000 batang rokok dan 1,591.92 liter minuman keras juga merupakan barangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Pada 10 Februari lalu kira-kira jam 9.20 pagi, bertindak atas maklumat Zon Risikan Sarawak, sepasukan pegawai dari Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah kosong di Jalan Teku Lama.
"Kesemua barangan tersebut telah disita untuk siasatan lanjut.
"Nilai sitaan rokok dan minuman keras dianggarkan berjumlah RM243,551.52, manakala jumlah duti import dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM1,112,773.27.
"Kes ini masih dalam siasatan," ujarnya pada sidang media di Pejabat JKDM Sibu, hari ini.
Norizan berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menyimpan rokok dan minuman keras terbabit di rumah kosong bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barangan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(d) akta berkenaan.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih tinggi, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan lain serta menasihatkan masyarakat agar tidak terlibat dalam kegiatan berkenaan.
"Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Norizan memberitahu, orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di seluruh negeri.
"JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.