Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Pengunjung cadang kerja potong rumput Taman Peringatan Kutien dijalankan selepas 9 pagi

Posted on 09 Mar 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Aktiviti pemotongan rumput pada waktu awal pagi di Taman Peringatan Kutien, Bukit Lima di sini didakwa mengganggu keselesaan orang awam yang sedang melakukan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

Seorang pengunjung taman Fred Ngumbang mendakwa, pekerja syarikat kontraktor penyelenggaraan taman itu telah beberapa kali menjalankan kerja pemotongan rumput ketika orang ramai sedang berjoging.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah boleh mengundang risiko bahaya kepada pengunjung yang berada berhampiran kawasan kerja.

Katanya, penggunaan mesin pemotong rumput mengeluarkan asap dan bunyi bising yang menjejaskan suasana tenang yang biasanya dinikmati pengunjung pada waktu pagi.

“Waktu pagi merupakan masa terbaik untuk orang ramai berjoging sambil menghirup udara segar. 

“Namun kehadiran pekerja yang memotong rumput pada waktu ini menyebabkan kami terpaksa menghidu asap mesin dan berdepan bunyi bising,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, kerja pemotongan rumput yang dilakukan berhampiran laluan joging juga menimbulkan risiko kecederaan apabila batu-batu kecil boleh terpelanting daripada mesin pemotong.

“Situasi ini agak membimbangkan kerana pekerja memotong rumput terlalu dekat dengan laluan yang digunakan orang ramai untuk berjoging,” jelasnya.

Fred memaklumkan bahawa kerja-kerja pemotongan rumput tersebut dilihat bermula seawal jam 6.30 hingga 7 pagi, iaitu ketika taman itu sedang dikunjungi ramai orang yang melakukan aktiviti riadah.

Menurutnya, kejadian sama telah berlaku sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh kurang sebulan, iaitu pada 24 Februari lalu dan sekali lagi hari ini (9 Mac).

“Kami yang kerap berjoging di sini sudah dua kali berdepan situasi ini dan ia sememangnya menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengunjung,” katanya.

Sehubungan itu, Fred mencadangkan agar kerja-kerja penyelenggaraan seperti pemotongan rumput dilakukan selepas jam 9 pagi, ketika kebanyakan pengunjung sudah beredar dari taman tersebut.

Katanya lagi, pada waktu petang pula taman itu biasanya mula dipenuhi orang ramai seawal jam 4 petang untuk beriadah, justeru jadual kerja boleh disusun dengan lebih terancang bagi mengelakkan gangguan kepada pengunjung.

“Kami menghargai usaha pihak bertanggungjawab yang menjalankan penyelenggaraan taman ini dengan baik. 

“Namun adalah lebih baik jika masa kerja dapat diselaraskan supaya wujud situasi menang-menang antara orang awam dan pihak pekerja,” tegasnya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman