RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Bahagian Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menjalankan pemeriksaan ke atas lapan tandas awam di Zon A dan B, hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat berkata, pemeriksaan dijalankan bagi meneliti isu-isu berbangkit serta mengambil tindakan segera untuk menanganinya.
“Kebiasaannya, setiap satu hingga dua bulan saya akan mengikuti kakitangan untuk turun menjalankan pemeriksaan.
“Harapannya adalah untuk memastikan tahap kebersihan tandas sentiasa terjaga supaya kemudahan awam ini boleh digunakan oleh orang ramai dalam keadaan yang baik,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, kawasan pentadbiran MPS dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon A yang merangkumi kawasan pusat bandar (CBD) serta Zon B yang meliputi kawasan di luar pusat bandar.
Tandas awam Zon A yang diperiksa adalah Jalan Khoo Peng Loong dan Pusat Penjaja SEDC, manakala Zon B merangkumi Taman Kutien, Taman Permai, Terminal Bas Sibu, Taman Rejang, Taman Foochow, Medan Selera Bandung dan Padang Penjara Sibu.
Menurutnya, pemeriksaan berkala penting bagi memantau tahap kebersihan dan keadaan kemudahan awam supaya sentiasa berada pada tahap memuaskan.
“MPS akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tandas awam di bawah pentadbiran majlis sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selesa digunakan orang ramai,” katanya.