RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pendigitalan pengurusan bencana di Sarawak diperkasakan menerusi penggunaan Sistem Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan aplikasi MyIBJKM bagi mempercepatkan pendaftaran mangsa serta penyaluran bantuan semasa bencana.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata sistem itu membolehkan maklumat mangsa direkod secara lebih sistematik kerana diintegrasikan dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Integrasi tersebut memastikan maklumat sahih dan berintegriti bagi mengelakkan pertindihan atau keciciran dalam penyaluran bantuan.
“Pendigitalan ini turut mempercepatkan proses bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) supaya sampai kepada mangsa yang layak dengan lebih cepat, tepat dan telus,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Zon Tengah di sini pada Selasa.
Majlis itu dianjurkan sebagai penghargaan kepada semua petugas PPS yang bertungkus-lumus membantu mangsa bencana, termasuk penyediaan makanan, keperluan asas dan penyelarasan operasi di pusat pemindahan.
Program berkenaan juga buat julung kalinya menghimpunkan penyertaan menyeluruh daripada pelbagai pihak di Zon Tengah Sarawak termasuk jabatan kerajaan, institusi pendidikan serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Mohammad Razi menekankan peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam memastikan pendekatan digital seperti MyIBJKM dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti.
Katanya, KMKK berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan dan penduduk setempat dengan membantu menyampaikan maklumat, memberi penerangan serta menggalakkan pendaftaran awal.
“KMKK berada paling dekat dengan komuniti. Mereka mengenal pasti mangsa, menyebarkan maklumat pendaftaran awal dan memastikan tiada penduduk tercicir daripada menerima bantuan,” ujarnya.
Beliau menegaskan kesedaran masyarakat untuk mendaftar awal akan mempercepatkan pengumpulan data dan pengesahan maklumat sekiranya berlaku bencana.
Sebagai contoh, Bahagian Sibu pernah mengalami banjir besar pada 9 hingga 12 Januari 2026 yang menjejaskan lebih 5,000 mangsa daripada kira-kira 1,200 keluarga.
Kawasan terjejas termasuk Kampung Nangka, Sungai Merah, Sungai Antu dan kawasan rendah berhampiran Sungai Rajang, menyebabkan kerosakan rumah, harta benda serta gangguan bekalan elektrik dan air.
“Keadaan ini membuktikan bahawa pengurusan bencana memerlukan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan masyarakat setempat bagi memastikan bantuan disalurkan dengan pantas, tepat dan berkesan,” katanya.