RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kerjasama dalam kalangan pemain industri kekal sebagai faktor utama dalam memperkukuh sektor acara perniagaan Sarawak, khususnya di destinasi yang sedang berkembang seperti Sibu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak) Jason Tan Chin Foo berkata, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkepentingan industri dan penganjur acara telah membantu Sarawak memperoleh sejumlah besar acara perniagaan.
“Kerana rakan-rakan seperti anda, Sarawak berjaya memperoleh sebanyak 160 acara perniagaan pada tahun 2025 yang menjana impak ekonomi sebanyak RM483.5 juta,” ujarnya semasa program BESarawak Ramadan Engagement Series di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan daripada sektor awam dan swasta itu merupakan sebahagian daripada tradisi tahunan BESarawak dalam mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan sempena musim Ramadan.
Tan berkata, perhimpunan di Sibu itu merupakan hentian keenam dan terakhir bagi Ramadan Engagement Series BESarawak tahun ini selepas sesi di Kuching, Miri, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Sibu katanya, kini semakin berkembang sebagai salah satu destinasi yang aktif di Sarawak untuk menganjurkan acara perniagaan dan menyeru kerjasama yang lebih kukuh bagi terus memperluas sektor tersebut.
“Apa yang paling penting ialah impak berpanjangan yang dibawa oleh acara-acara ini kepada ekosistem industri acara perniagaan di Sibu.
"Melalui pertukaran pengetahuan, penglibatan komuniti dan pembangunan industri, kita dapat mencipta penyelesaian yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak tetapi juga negara,” tambahnya.
Tan turut menekankan hala tuju strategik BESarawak yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu transformasi dan inovasi, impak dan legasi, serta perkongsian dan pembangunan insan bagi meningkatkan pengalaman acara serta menghasilkan hasil yang bermakna kepada komuniti tuan rumah.
Beliau berkata, biro tersebut turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu sempena ulang tahun ke-25 tahun ini, termasuk Program Mobiliti Akademik untuk menyokong kumpulan pelajar yang melawat Sarawak serta Pakej Dana Acara Perniagaan Sarawak bagi membantu penganjur acara berskala kecil dengan antara 25 hingga 149 perwakilan.
“Inisiatif ini direka untuk memperkasakan penganjur serta mengukuhkan jambatan antara akademia, industri dan rakan tempatan, di samping memudahkan penganjuran acara berimpak tinggi di Sarawak,” katanya.