RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Seorang suri rumah di Pakan dekat sini tidak menyangka tanaman nanas yang diusahakannya di hadapan rumah panjang mereka menghasilkan buah yang luar biasa apabila satu tangkai mengeluarkan dua biji nanas sekali gus.
Gloria Jawat Ujan, dari Rumah George Chunggut, Nanga Nansang, Wak, menyedari keunikan tersebut ketika hendak memetik buah dari kebun kecilnya pada Rabu.
Menurut anaknya Matthew Masing, penemuan itu mengejutkan ibunya kerana sepanjang pengalaman mereka menanam nanas, setiap tangkai biasanya hanya menghasilkan sebiji buah.
“Selalunya satu tangkai hanya mengeluarkan satu buah sahaja tetapi kali ini, satu tangkai menghasilkan dua biji nanas yang seakan-akan bercantum,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, kejadian seperti itu merupakan pengalaman pertama mereka sekeluarga melihat nanas berbuah sedemikian rupa.
Matthew menjelaskan, ibunya menanam sekitar 15 hingga 17 pokok nanas di kawasan berhampiran rumah panjang sekadar untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk tujuan komersial.
“Daripada semua pokok yang ditanam, inilah kali pertama kami menemui buah nanas yang tumbuh berkembar pada satu tangkai,” ujarnya.
Beliau berkata, bentuk nanas tersebut juga kelihatan unik dan sedikit menyerupai rupa tenggiling.
Mengulas mengenai rancangan mereka terhadap buah nanas berkenaan, Matthew memberitahu setakat ini mereka memilih untuk menyimpannya terlebih dahulu tanpa memakan atau memotongnya.
Katanya, beberapa penduduk rumah panjang turut mencadangkan supaya buah tersebut dijadikan bahan upacara tertentu mengikut kepercayaan tradisional masyarakat Iban kerana fenomena seumpama itu sering dianggap membawa petanda baik.
Bagaimanapun, beliau berkata keluarganya yang kini beragama Kristian mungkin hanya akan menyimpan buah tersebut sebagai kenangan.
“Kami tidak bercadang melakukan sebarang upacara.
“Kami anggap ia sesuatu yang istimewa dan mungkin ada penjelasan dari sudut sains seperti faktor tanah, cuaca atau keadaan semula jadi yang menyebabkan ia berlaku,” katanya.