RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kekuatan dan kemajuan sesebuah masyarakat tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan infrastruktur, sebaliknya juga harus diukur melalui sejauh mana kebajikan rakyat dijaga, terutamanya mereka yang menghadapi kesukaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang berfokus kepada rakyat, daripada bantuan kewangan dan program kebajikan sosial hinggalah kepada usaha pembangunan luar bandar.
"Semua ini bertujuan memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada arus pembangunan negeri," ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Peringkat DUN Bawang Assan di Pusat Komersial Unicity, Jalan Wawasan, hari ini.
Bagi kawasan DUN Bawang Assan katanya, beliau sentiasa menekankan bahawa pembangunan mestilah inklusif dan seimbang, di mana selain pembangunan fizikal seperti jalan raya dan kemudahan awam, perhatian juga perlu diberikan kepada kesejahteraan sosial masyarakat.
"Sebab itulah program seperti yang kita lancarkan hari ini amat bermakna. Ia membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan di samping memperkukuhkan rangkaian sokongan antara kerajaan, agensi awam dan masyarakat setempat," jelas Wong.
Bagi mereka yang masih belum mendaftar untuk program SKAS, beliau turut menggalakkan orang ramai supaya berbuat demikian, di mana kaunter pendaftaran telah disediakan untuk membantu mereka yang belum mendaftar.
Selain itu katanya, orang ramai juga boleh datang ke pejabat Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan bagi membantu proses pendaftaran.
"Ambillah peluang ini supaya tuan-tuan dan puan-puan dapat menikmati manfaat yang disediakan melalui program ini," katanya sambil berharap bantuan yang disalurkan itu dapat meringankan beban para penerima serta membawa sedikit kelegaan kepada keluarga mereka.
Menyentuh lanjut mengenai SKAS, Wong memberitahu program seperti ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Walaupun Sarawak terus berkembang dari segi ekonomi katanya, kerajaan tidak boleh lupa bahawa masih terdapat keluarga yang memerlukan sokongan untuk memenuhi keperluan asas harian mereka.
"Sumbangan yang dilancarkan pada hari ini bukan sekadar bantuan barangan keperluan asas. Ia juga melambangkan semangat prihatin dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat kita.
"Di Sarawak, kita sentiasa mengamalkan semangat kebersamaan, saling membantu dan bergerak maju sebagai satu masyarakat," tambahnya.
Pada majlis sama, Wong turut menyampaikan sijil pelantikan kepada beberapa ketua kaum bagi kawasan DUN Bawang Assan.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting, wakil Residen Bahagian Sibu Diana Toh Kah Yien, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wee, wakil Pegawai Daerah Sibu Sylvia Lau Gin Si serta Ketua Bahagian PDP Bawang Assan Kaunselor Wong Hua.