RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bukan sekadar kesinambungan program bantuan, sebaliknya menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng.
Menurut Chieng, SKAS merupakan langkah intervensi langsung kerajaan negeri dalam menangani peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.
“Tahun ini, nilai bantuan SKAS telah dinaikkan bagi semua kategori penerima. Isi rumah menerima peningkatan daripada RM800 kepada RM950, warga emas daripada RM400 kepada RM500, manakala kategori bujang meningkat daripada RM250 kepada RM300,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 peringkat DUN Bukit Assek di Pusat Khidmat Bukit Assek, di sini, pada Rabu.
Chieng berkata bantuan itu akan disalurkan dalam tiga fasa iaitu pada Mac, Mei dan November bagi memastikan penerima terus mendapat manfaat sepanjang tahun.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan yang ditetapkan selaras dengan matlamat asal pelaksanaannya.
Menurut beliau, berdasarkan rekod, lebih 90 peratus penerima SKAS telah mendaftar menggunakan aplikasi SPay Global, bagi membolehkan penyaluran bantuan dilaksanakan secara lebih bersasar dan berkesan.
“Penggunaan SPay Global yang meluas di seluruh Sarawak bukan sahaja memudahkan penerima, malah membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan lain dengan lebih tepat kepada golongan sasar,” ujarnya.
Beliau menambah, pelaksanaan SKAS tahun ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar keluhan rakyat dan bertindak segera dalam meringankan beban mereka.
Justeru, Chieng berharap para penerima dapat memanfaatkan bantuan itu dengan bijak demi meningkatkan kualiti hidup masing-masing.
- UTUSAN BORNEO-