RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai dilantik menerajui Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) untuk tempoh setahun lagi berkuat kuasa 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027.
Beliau yang sudah hampir 10 tahun memegang jawatan Pengerusi, mengangkat sumpah lantikan semula jawatan tersebut pada majlis ringkas di Bilik Mesyuarat MDLBS hari ini.
Majlis angkat sumpah itu disaksikan oleh Timbalan Pengerusi MDLBS Wong Ching Yong dan Setiausaha Ng Siang Wee, serta semua ahli majlis yang lain.
Berucap selepas majlis tersebut Sempurai berkata, pelantikan semula itu merupakan satu penghormatan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat khususnya penduduk dalam kawasan bidang kuasa majlis.
"Bagi saya ini adalah satu penghormatan untuk berkhidmat.
"Seperti yang saya nyatakan dalam mesyuarat penuh tadi, ini adalah satu peluang bukan sahaja untuk saya tetapi untuk seluruh majlis untuk bergerak maju bersama.
"Seperti yang anda semua tahu, saya telah berada di sini hampir sepuluh tahun namun ini bukan sekadar satu pekerjaan atau pelantikan sebagai pengerusi, tetapi ia adalah kerja berpasukan di bawah MDLBS.
"Sebab itu saya katakan bahawa saya bukan sahaja gembira dilantik semula, tetapi ini sebenarnya adalah untuk para ahli majlis.
"Tanpa ahli majlis dan juga kakitangan, kita tidak akan dapat mencapai apa yang telah kita capai pada hari ini," ujarnya.
Sempurai turut memohon kepada semua ahli dan kakitangan majlis agar terus bekerja sebagai satu pasukan mulai sekarang memandangkan masyarakat dalam kawasan pentadbirannya bukan sahaja mengharapkan lebih daripada majlis tetapi pada masa sama mereka juga perlu lebih peka terhadap keadaan di lapangan.
"Saya ingin menggunakan peluang ini sepenuhnya bukan sahaja untuk bekerja keras bersama ahli-ahli majlis, tetapi kita juga perlu lebih proaktif dalam menangani isu-isu yang ada.
"Kita juga perlu meningkatkan mutu perkhidmatan, perkara yang sering kita bincangkan setiap tahun," katanya sambil menjelaskan tugas sebagai pengerusi majlis bukanlah sesuatu yang mudah.
Sambil mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada semua ahli majlis, kakitangan dan juga masyarakat dalam kawasan MDLBS, beliau berharap dalam tempoh baharu ini semua pihak akan lebih aktif berinteraksi dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama masyarakat.
"Penglibatan komuniti adalah sesuatu yang perlu kita pertingkatkan," tambah beliau sambil mengharapakan dengan kerjasama daripada masyarakat, ahli majlis dan kakitangan, MDLBS akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan daripada apa yang telah dicapai setakat ini.