RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM164,000 dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan lewat malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, operasi bermula dari jam 10 malam hingga 3 pagi itu membabitkan kekuatan 58 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai bahagian.
Antara yang terlibat ialah Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta balai-balai polis dalam daerah ini.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 212 individu telah diperiksa di beberapa lokasi tumpuan termasuk pusat hiburan dan premis perniagaan sekitar bandar Sibu.
Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki tempatan didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Indonesia turut diberkas bersama rampasan pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, pil Erimin 5 serta serbuk disyaki ecstasy.
Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM164,695.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, pihak polis dalam kenyataan sama menegaskan komitmen berterusan dalam memperhebat operasi pencegahan jenayah secara berkala di seluruh daerah.
“Operasi ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras jenayah serta penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan secara menyeluruh di lokasi tumpuan awam dan premis hiburan akan diteruskan bagi memastikan persekitaran bandar Sibu sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras aktiviti jenayah dan dadah di daerah ini,” jelas kenyataan itu.