RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang, menggesa ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong perkembangan anak-anak, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Beliau berkata, kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai tekanan dan pengaruh negatif dalam talian justeru perhatian dan sokongan berterusan daripada ibu bapa amat diperlukan.
“Pada masa kini, kanak-kanak sangat terdedah kepada dunia dalam talian yang mungkin membawa tekanan dan pengaruh negatif.
“Oleh itu, ibu bapa perlu memberi perhatian rapi terhadap perkembangan anak-anak, keyakinan diri mereka, serta minat mereka terhadap pembelajaran.
“Marilah kita semua memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya.” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri serta perasmian bilik darjah pintar di SJKC Kiang Hin hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pelancaran bilik darjah pintar sebagai langkah penting dalam memperkukuh penggunaan teknologi dalam pendidikan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan menyediakan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan berasaskan teknologi, selari dengan keperluan semasa.
“Murid-murid yang dikasihi, bilik darjah anda kini 'pintar' namun walau secanggih mana peralatan yang ada, kejayaan tetap bergantung kepada usaha anda sendiri,” ujarnya.
Tiang turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di Sarawak.
Katanya, sambutan bersama Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang dipaparkan melalui dekorasi pentas mencerminkan keharmonian serta semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Walaupun berbeza latar belakang, kita semua adalah rakyat Sarawak dan perlu terus menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa sekolah berkenaan bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun depan, mencerminkan sumbangan generasi terdahulu dalam membangunkan institusi tersebut.
“Seratus tahun adalah satu pencapaian yang wajar diraikan dan saya berharap dapat berpeluang hadir dan menyaksikan detik bersejarah ini.
“Sepanjang satu abad yang lalu, para pendahulu kita, bekas guru dan guru besar telah mencurahkan usaha dan dedikasi yang besar dalam membangunkan sekolah ini sehingga menjadi seperti hari ini,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Kapitan So Teck Kee, Penolong Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu Mohammad Noridzwan Sawi Pegawai Perhubungan Sekolah Sarjan Rashidi Jamel dan Guru Besar Ling Ing Kiong.