RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) terus memperkukuh peranannya sebagai platform penyatuan pengamal media tempatan dalam mendepani cabaran kewartawanan era digital yang semakin pantas dan mencabar.
Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu Florence Nervyn berkata, sepanjang tempoh setahun kepimpinannya, pelbagai pengalaman dan cabaran telah mematangkan persatuan itu dalam usaha memastikan ia kekal relevan serta berfungsi secara efektif.
“SJA bukan sekadar organisasi tetapi platform yang menyatukan suara, memperkukuh hubungan serta memperjuangkan kebajikan wartawan di Sibu,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan SJA malam tadi.
Beliau turut merakam penghargaan kepada semua ahli atas sokongan, komitmen dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui persatuan tersebut.
Menurutnya, SJA ketika ini mempunyai 39 ahli berdaftar terdiri daripada wartawan dan editor pelbagai organisasi media di Sibu dengan kekuatan utama terletak pada kesatuan dan semangat saling menyokong.
Sepanjang tahun lalu, SJA telah melaksanakan pelbagai program termasuk sesi perkongsian ilmu, aktiviti kebajikan serta program mengeratkan hubungan sesama ahli.
Bagi tahun ini, SJA merancang beberapa program termasuk sambutan Gawai, Hari Keluarga SJA, sambutan Krismas, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) serta kursus peningkatan kemahiran pengamal media.
Dalam masa sama, SJA turut memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan bagi memperluaskan peranan serta pengaruh persatuan dalam ekosistem media.
Namun begitu, Florence menegaskan SJA tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap kewartawanan yang dipacu teknologi digital dan cabaran integriti maklumat.
“Perubahan teknologi dan penyebaran maklumat tanpa sempadan menuntut kita untuk lebih berdisiplin serta berpegang teguh kepada etika kewartawanan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan semua perancangan bergantung kepada penglibatan aktif semua ahli kerana SJA adalah milik bersama.
“Kepimpinan bukan tentang jawatan tetapi tanggungjawab untuk membawa organisasi ini ke hadapan dengan lebih baik,” tambahnya.
Beliau berharap SJA terus kukuh sebagai suara profesional pengamal media yang bukan sahaja menyampaikan berita tetapi juga menjadi suara masyarakat yang berintegriti dan bertanggungjawab.