Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Pustaka Negeri Sarawak terus perkukuh peranan selaras aspirasi PCDS 2030

Disiarkan pada 23 Apr 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Pustaka Negeri Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan masyarakat berilmu melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif galakan membaca, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan modal insan, ekonomi berasaskan pengetahuan serta kesejahteraan sosial.

Pemangku Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Sibu (Pustaka Sibu) Nurfarathul Aqma Julani berkata, usaha berterusan itu penting dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, berfikiran terbuka dan berdaya saing.

"Pustaka Negeri Sarawak sentiasa giat melaksanakan pelbagai program termasuk literasi maklumat dan digital, pembelajaran komuniti serta kerjasama strategik dengan agensi dan institusi pendidikan bagi memperkasa budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Seiring dengan aspirasi PCDS 2030, pendekatan ini bertujuan memastikan masyarakat bukan sahaja mempunyai akses kepada ilmu, malah mampu memanfaatkannya dalam kehidupan seharian,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Jom Baca Bersama 10 Minit sempena sambutan Hari Buku Sedunia di Wisma Sanyan, hari ini.

Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Se-Malaysia (MPAM), Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Negeri.

Ia bertujuan menyemai tabiat membaca dalam kalangan masyarakat bermula dengan amalan membaca selama 10 minit secara serentak.

Dalam pada itu, Nurfarathul Aqma menegaskan bahawa cabaran era digital kini menuntut pendekatan lebih kreatif dan inklusif bagi menarik minat masyarakat terhadap pembacaan.

Justeru katanya, program seumpama itu diperluaskan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS), MPS, Pejabat Residen Sibu, Pejabat Daerah Sibu serta Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, sekali gus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 iaitu kerjasama demi matlamat.

Pada majlis tersebut, beberapa individu dan agensi turut menerima pengiktirafan Anugerah Ahli Aktif 2025 atas pencapaian cemerlang dalam pembacaan.

Bagi kategori kanak-kanak, anugerah diberikan kepada Zuleykha Nuralysha Muhammad Hafiz yang merekodkan bacaan sebanyak 650 buku.

Kategori dewasa dimenangi Siew Haw Sieng dengan 337 buku manakala Sophia Siew Tze Qing bagi kategori pelajar dengan 348 buku.

Selain itu, Enrichment Language Centre dinobatkan sebagai pemenang kategori agensi dengan 264 buku, diikuti Tan Eng Kua (warga emas 213 buku) dan Nur Syahida Ispawi (staf 78 buku).

Siti Nurhafizah Sajeli @ Sejali pula menerima pengiktirafan sebagai pengulas buku terbanyak dengan tujuh ulasan.

Program tersebut diharap menjadi titik permulaan kepada pembentukan tabiat membaca yang konsisten dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri berasaskan ilmu.

Program itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi bagi mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee dan turut hadir Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman