Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Amalan membaca perlu diangkat sebagai tunjang pemikiran kritis dan kreatif

Disiarkan pada 23 Apr 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Amalan membaca tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai tuntutan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diangkat sebagai tunjang utama dalam membentuk pemikiran kritis dan kreatif, khususnya dalam era moden yang dipacu teknologi serta ledakan maklumat tanpa batas.

Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi menegaskan bahawa keupayaan membaca secara mendalam, disertai kemahiran menilai kandungan bacaan berkualiti, kini menjadi elemen penting dalam melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing dan berpandangan jauh.

"Dalam dunia digital yang sarat dengan pelbagai maklumat, kemahiran membaca secara kritikal amat diperlukan agar masyarakat mampu menapis, memahami dan memanfaatkan maklumat dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 bagi mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi & Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapaee di Wisma Sanyan, hari ini.

Mengulas lanjut, Sayed Azmee menyifatkan program tersebut sebagai platform strategik dalam memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, melalui pendekatan yang lebih santai, inklusif dan interaktif.

“Pendedahan kepada pelbagai bahan bacaan bukan sahaja memperluaskan ilmu pengetahuan, malah berupaya merangsang pemikiran kreatif dan inovatif, selari dengan perkembangan teknologi semasa,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, usaha memperkukuh budaya membaca perlu bermula dengan langkah kecil, namun dilaksanakan secara konsisten dan berterusan agar impaknya dapat dirasai dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, Sayed Azmee menekankan kepentingan kerjasama erat antara ibu bapa, pendidik dan komuniti dalam memastikan amalan membaca terus subur dalam masyarakat.

“Saya berharap program ini mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang bukan sahaja berilmu tetapi juga kritis dan kreatif dalam mendepani cabaran era digital,” katanya.

Tambah beliau lagi, inisiatif seperti ini selari dengan peranan perpustakaan dan institusi ilmu sebagai pusat pembelajaran komuniti yang relevan dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh agar Program JomBaca serta aktiviti perkongsian bacaan diperluaskan lagi pada masa depan dengan penglibatan lebih ramai pihak.

Program berkenaan bukan sahaja menampilkan sesi membaca serentak selama 10 minit, malah turut diisi dengan perkongsian bahan bacaan serta pengagihan buku percuma kepada peserta, sebagai usaha menyemai budaya ilmu sejak peringkat awal.

Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperkukuh peranan perpustakaan sebagai nadi pembelajaran komuniti yang dinamik dan relevan dengan keperluan semasa.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan Pemangku Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Sibu Nurfarathul Aqma Julani.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman