RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Tiga pemandu dikesan positif dadah selepas dicekup dalam Operasi Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) yang digerakkan di sini, awal pagi Khamis.
Operasi berimpak tinggi itu melibatkan kekuatan 34 pegawai dan anggota daripada AADK, JPJ serta Jabatan Imigresen bagi memastikan jalan raya bebas daripada pemandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
Dalam tindakan penguatkuasaan tersebut, seramai 30 individu telah diperiksa dengan teliti.
Namun hanya tiga daripadanya gagal melepasi ujian saringan awal air kencing di lokasi kejadian.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun itu kini ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
AADK Sibu menegaskan bahawa operasi ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan individu terlibat tidak terus hanyut dalam kancah penyalahgunaan dadah.
“Operasi ini bertujuan memastikan mereka yang dikesan segera diberikan laluan ke program rawatan dan pemulihan (RP) yang sewajarnya,” jelas kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya.
Selain itu, tindakan tegas itu dilaksanakan selari dengan pemerkasaan Akta 283 yang kini mengimbangi aspek penguatkuasaan undang-undang dengan elemen pemulihan yang lebih holistik.
Ketua Daerah AADK Sibu, Azimah Marsid turut hadir menyertai operasi itu sambil memberi amaran bahawa gerakan pengesanan akan diperluas ke daerah Kapit bagi menjamin matlamat ‘Dadah Terkawal 2030’ tercapai sepenuhnya.