Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Umat Islam di Sarawak perlu lengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran: Fadillah

Posted on 27 Apr 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menegaskan keperluan memperkasa umat Islam di Sarawak melalui penguasaan ilmu dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.

Menurut beliau, jumlah umat Islam di negeri ini yang tidak besar menuntut usaha berterusan untuk melengkapkan komuniti dengan keperluan kehidupan, khususnya dari segi pendidikan dan kemahiran.

“Yang lebih penting, khususnya untuk kita di Sarawak, bagaimana kita nak kukuhkan umat Islam. 

“Dengan jumlah yang tidak banyak itu, kita memerlukan umat kita dilengkapkan dengan keperluan kehidupan, terutamanya ilmu dan kemahiran untuk menghadapi cabaran kehidupan yang lagi mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas majlis solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Darul Halim, Teku, malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 jemaah.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan yang lain.

Mengulas cabaran global, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perkembangan geopolitik dunia termasuk konflik di Timur Tengah, perang antara Rusia dan Ukraine serta ketegangan antara kuasa besar dijangka memberi kesan kepada negara, khususnya dari segi bekalan dan harga.

Katanya, walaupun kerajaan masih mampu mengawal bekalan, faktor harga berada di luar kawalan dan peningkatan kos logistik serta insurans boleh memberi kesan kepada rakyat dalam tempoh terdekat.

“Sudah pasti kita bercakap mengenai minyak dan gas yang juga boleh memberi kesan kepada kita. 

“Walaupun ia berlaku di luar, kesannya kepada kita adalah dari segi bekalan dan harga yang sukar kita kawal kerana ia bukan dalam kawalan kita.

“Kita mungkin akan mula merasai kesannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang jika perang masih berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Fadillah menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan negara, termasuk memastikan keterjaminan makanan melalui penglibatan lebih aktif dalam sektor pertanian seperti penanaman padi.

“Bagaimana kita nak pastikan daya tahan dalam negeri… supaya makanan cukup dan keterjaminan makanan ada. Itu peluang sebenarnya untuk kita semua terlibat bersama,” katanya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menyarankan agar institusi masjid memainkan peranan lebih luas sebagai pusat pembangunan komuniti, bukan sekadar tempat ibadah, termasuk menyediakan ruang kepada pakar untuk memberi motivasi dan membimbing anak-anak dalam bidang pendidikan.

Selain itu, beliau mengingatkan masyarakat agar menguasai teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan maklumat palsu atau manipulasi digital.

“Kita kena kuasai AI, kalau tidak AI akan menguasai kita,” ujarnya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman