RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memandang serius isu penjualan atau penggunaan produk makanan dan minuman tamat tempoh yang melibatkan kedai kopi dalam kawasan pentadbirannya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat berkata, hasil beberapa siri operasi mendapati masih terdapat premis makanan di sini yang menyimpan bahan minuman dan makanan yang telah melepasi tarikh luput.
Menurutnya, terdapat pengusaha mendakwa tidak menyedari status produk tersebut kerana ia dihantar oleh pembekal.
Namun Yiing menegaskan agar peniaga tidak menjadikan alasan 'tidak tahu' sebagai justifikasi.
“Kami mengingatkan peniaga supaya lebih teliti ketika menerima bekalan serta sentiasa memeriksa tarikh luput bagi memastikan produk yang dijual selamat untuk pengguna.
“Memandangkan isu makanan tamat tempoh kerap dikesan sejak kebelakangan ini, kami akan terus mempergiat pemantauan selain membawa perkara ini ke peringkat jawatankuasa untuk perbincangan lanjut.
“Sekiranya penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara tegas, ia boleh menggalakkan sikap sambil lewa dalam kalangan peniaga,” katanya ketika ditemui pemberita semasa operasi pemeriksaan mengejut ke atas kedai kopi di Jalan Wawasan, di sini, hari ini.
Yiing berkata, meskipun pembungkusan luaran produk tersebut kelihatan baharu, pemeriksaan mendapati tempoh penggunaan sebenarnya telah pun luput.
Selain isu tarikh luput, Yiing turut mendedahkan aspek kebersihan dapur di premis yang diperiksa masih memerlukan penambahbaikan yang ketara.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk keadaan lantai dapur yang licin dan berminyak, penggunaan pinggan mangkuk serta papan pemotong yang sudah usang, rosak dan kotor, tidak memakai kasut bertutup, apron dan topi.
Satu lagi isu kritikal yang dibangkitkan adalah keberkesanan penggunaan perangkap minyak.
Yiing menjelaskan, terdapat premis yang menggunakan alat tidak mengikut spesifikasi menyebabkan sisa minyak mengalir terus ke longkang.
"Kebiasaannya perangkap minyak mempunyai tiga ruang untuk menapis sisa, air dan minyak.
"Jika hanya ada dua ruang, minyak akan terus mengalir keluar dan menyebabkan masalah saliran," jelasnya.
Hasil pemeriksaan di belakang premis mendapati longkang dipenuhi timbunan sisa minyak tebal meskipun pengusaha mendakwa kerja pembersihan telah dilakukan pada penghujung tahun lalu.
Yiing juga tidak menolak kemungkinan masalah longkang tersumbat turut berpunca daripada aktiviti premis cucian kereta berhampiran yang menyalurkan pasir dan lumpur ke dalam sistem saliran.
Sementara itu, operasi malam tadi menyaksikan sebanyak enam premis makanan telah diperiksa di mana lima premis diberi notis kebersihan manakala sebuah premis dikenakan kompaun.