RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) diminta mencari cara bagi menguruskan timbunan sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah.
Pengerusi MPS Clarence Ting berkata, beliau menerima aduan daripada pihak kuil mengenai pencemaran bau daripada sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah berhampiran Penjara Pusat Sibu.
"Masalah ini mungkin disebabkan sisa makanan yang banyak ini dibuang ke dalam tong sampah dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitar," ujarnya ketika mesyuarat penuh bulan MPS di sini, hari ini.
Ting berkata, terdapat lebih 700 penghuni di Penjara Pusat Sibu dan ini menjurus kepada pembuangan sisa makanan yang banyak setiap hari.
Sehubungan itu, beliau mahu perkara itu dibincangkan pada mesyuarat antara MPS dengan Penjara Pusat Sibu hari ini.
Ting juga memberitahu, beliau pernah bertanya kepada Pengurus Besar Hotel Tanahmas bagaimana sisa makanan yang banyak daripada hotel terbabit diuruskan.
Sebelum ini di Sibu katanya, ada pihak yang mengumpul sisa makanan ini untuk diberikan kepada haiwan ternakan.
"Namun disebabkan wabak demam babi Afrika yang melanda beberapa tahun lepas, semua ini telah dihentikan," jelasnya.
Oleh itu katanya, ini menjadi satu cabaran kepada Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran untuk menguruskan sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah.
"Mungkin kita boleh bertanya kepada pihak berkuasa tempatan di Kuching atau Miri tentang bagaimana mereka menguruskan sisa makanan ini.
"Ini kerana jika sisa makanan ini dibuang ke dalam tong sampah, ia akan berakhir di tapak pelupusan sampah," tegas Ting.
Di samping itu, beliau turut memuji Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran yang telah menjalankan pemeriksaan berterusan terhadap premis makan di sekitar bandar ini.
"Ini satu tugas yang tidak mudah namun anda telah berjaya melaksanakannya dengan baik.
"Terima kasih juga kepada semua ahli majlis yang turut serta dalam pemeriksaan ini," tambahnya sambil merakamkan penghargaan kepada pengerusi jawatankuasa Kaunselor Richard Ting dan timbalannya Kaunselor Yiing Sy Huat.